Slogan ‘Malaysian Malaysia’ DAP selari dengan prinsip Rukun Negara
JOHOR BAHRU – Slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan parti DAP tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan prinsip Rukun Negara.
Laporan Sinar Harian menyebut Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali sebagai berkata, orang Melayu tidak perlu takut dengan slogan tersebut kerana ia merujuk kepada ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ dan selama ini tidak pernah menimbulkan masalah.
Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, slogan tersebut tidak sepatutnya menjadi isu lebih-lebih lagi dalam suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kita tidak seharusnya mengelak daripada polemik ini berterusan sebaliknya mencari titik persamaan perpaduan (antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) untuk berkempen dalam pilihan raya ini.
“Sebab itu kita setuju bentuk Kerajaan Perpaduan dan (semua parti) setuju Perlembagaan parti ini, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi seharusnya perkara ini tidak timbul,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong merangkap Pengerusi DAP Johor; Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR); Dr Maszlee Malik; Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan calon PH, Suhaizan Kaiat.
Sheikh Omar berharap, akar umbi terutama UMNO mendapat kefahaman jelas mengenai isu tersebut dan disebabkan kerjasama antara PH dan BN yang masih baharu, perkara itu masih menghantui mereka.
Beliau berkata, rasa sangsi serta curiga orang Melayu itu adalah perkara biasa dan memerlukan masa untuk menerimanya serta usaha memberi penjelasan sedang dilakukan jentera parti ketika ini.
Menurutnya, slogan tersebut tidak perlu digugurkan dan pada masa sama tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP adalah satu ancaman.
Terdahulu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP memberi penjelasan mengenai konsep Malaysian Malaysia dibawa parti itu supaya tidak lagi menyumbang kepada ketegangan kaum.
Beliau berkata, DAP juga perlu mengakui kesilapan kepada rakyat jika konsep Malaysian Malaysia selari dengan janji parti itu menghapuskan kuota bumiputera dan mengembalikan penggunaan bahasa.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menggesa supaya DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ dan menggesa komponen PH menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.