Terokai rahsia di Bukit Maxwell dengan sertai Pop-up Green Market
TAIPING – Maxwell Base Camp akan menganjurkan program “Pop-up Green Market” bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengguna semula dan menjaga alam sekitar pada 10 September ini.
Pengurus Fasiliti Maxwell Base Camp, Amirul Danial berkata, program itu yang akan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang juga bakal menampilkan artis tempatan dan pelbagai aktiviti menarik lain untuk pengunjung.
“Antara vendor yang akan menyertai program ini antaranya Diri Bumi, Suplime Plasic dan Sabun Refill, ia merupakan pemain industri kecil yang menitik berat tentang kelestarian alam sekitar dan mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.
“Sebanyak 10 vendor telah pun bersetuju untuk menjayakan program yang bersifat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mengguna semula dan menjaga alam sekitar,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dalam pada itu, Amirul berkata, selain itu pihaknya juga akan memberi penerangan tentang konservasi denai, tapak perkemahan dan kawasan riadah yang disediakan di sini.
Beliau berkata, sepanjang menyertai program berkenaan, pengunjung akan dapat menikmati keindahan flora dan fauna yang jarang dijumpai di tempat lain.
Maxwell Base Camp adalah satu projek pemuliharaan alam sekitar daripada Malaysia Mountain Trail Festival dibawah inisiatif #LoseYourMindDiscoverYourSoul oleh syarikat MMTF Consultant.
MMTF Consultant telah memulakan projek pembangunan alam sekitar berimpak rendah ini pada Ogos 2022 selepas mendapat kelulusan secara rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan kerajaan negeri Perak. Kira-kita empat ekar tanah pada ketika itu.