Sistem audit perlu berkesan, bukan membebankan rakyat – PM
PUTRAJAYA – Sistem audit negara tidak seharusnya dianggap membebankan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara lebih berkesan, pantas dan mendekati pihak yang terlibat serta rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, meskipun sistem pengauditan perlu telus dan tegas, pendekatan yang terlalu leceh atau membebankan boleh menjejaskan kefahaman dan penerimaan terhadap pelaksanaannya.
Menurut Anwar, sistem audit yang baik harus lebih efisien, mudah difahami dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selain mampu memperkukuh tadbir urus serta akauntabiliti awam.
Katanya, keberkesanan audit juga bergantung kepada kelajuan dan ketepatan pelaksanaannya kerana kelewatan boleh membuka ruang kepada ketirisan, penyalahgunaan kuasa serta kelemahan pengurusan dana awam.
“Jika sistem pengauditan dilaksanakan dengan baik, kebimbangan terhadap ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan. Kelemahan atau kelewatan audit akan menyebabkan masalah ini berlarutan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan memperkenalkan Undang-undang Audit Pindaan 2024 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh reformasi sistem pengauditan negara supaya pelaksanaannya lebih berkesan dan memberi impak maksimum.
Menurutnya, reformasi tersebut bukan sekadar menjadikan audit sebagai rutin pentadbiran, sebaliknya satu budaya kerja yang mampu memastikan sistem pengurusan kerajaan berada pada tahap terbaik.
Tegas Anwar, kepentingan pendekatan mendekati dan menyantuni rakyat, termasuk melalui pendidikan dan kefahaman awam terhadap peranan audit, bagi mengelakkan jurang antara dasar yang baik dan penerimaan masyarakat.
Beliau berkata, sistem audit merupakan sistem dinamik yang memerlukan penambahbaikan berterusan, pemikiran baharu serta keberanian untuk meneroka ruang pembaharuan demi memastikan negara berada pada landasan yang betul.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan memberi ruang seluas-luasnya kepada Jabatan Audit Negara untuk melaksanakan tugas secara menyeluruh, selagi mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













