‘Forgotten Baby Syndrome’: Fenomena nyata yang boleh ragut nyawa anak
KUALA LUMPUR – Fenomena dikenali sebagai ‘Forgotten Baby Syndrome’ bukan sekadar cerita rekaan, sebaliknya satu realiti yang boleh berlaku kepada mana-mana ibu bapa termasuk mereka yang penyayang dan bertanggungjawab.
Perkara itu dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) menerusi status di Facebook hari ini.
Menurut PHM, situasi pagi Isnin digambarkan apabila seseorang memandu dalam keadaan ‘auto-pilot’ ke tempat kerja.
Mereka biasanya akan memikirkan mesyuarat, kesesakan lalu lintas dan urusan pejabat sehingga tanpa sedar terus memandu ke ofis, parkir kereta dan naik ke tempat kerja sebelum hanya tersedar beberapa jam kemudian bahawa anak masih berada di dalam kereta dan belum dihantar ke taska.
Jelas PHM, punca utama kejadian itu adalah kegagalan memori jangka pendek (short-term memory failure) yang berlaku apabila rutin harian berubah walaupun sedikit.
“Sebagai contoh, kebiasaannya isteri yang menghantar anak ke taska, namun pada hari tertentu suami pula mengambil alih tugas tersebut.
“Otak yang telah ‘terprogram’ dengan laluan rutin ke pejabat akan terus mengikut kebiasaan sekali gus terlepas pandang persinggahan ke taska,” katanya.
Tambah PHM, keadaan itu amat berbahaya kerana suhu dalam kenderaan yang diparkir di bawah matahari boleh meningkat secara mendadak dalam tempoh 10 minit sahaja sekali gus berisiko menyebabkan kanak-kanak mengalami strok haba dan membawa maut.
Sehubungan itu, PHM menggesa ibu bapa mengamalkan langkah pencegahan atau ‘safety hack’ mudah bagi mengelakkan tragedi tersebut.
Antaranya meletakkan barang penting yang wajib dibawa masuk ke ofis di tempat duduk belakang, bersebelahan kerusi anak.
Barang yang disarankan termasuk beg komputer riba, beg tangan, bekal makanan atau kasut kiri, supaya ibu bapa secara automatik akan menoleh ke belakang ketika mengambil barang tersebut dan menyedari kehadiran anak di dalam kereta.
“Tolong paksa diri untuk menoleh ke belakang,” tegas perkongsian itu sebagai peringatan kepada semua ibu bapa agar sentiasa berwaspada demi keselamatan anak-anak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





