BERITA SEMASAPOLITIK

BERSATU perjelas cadangan MB Perlis, nafi campur tangan urusan PAS

KUALA LUMPUR – BERSATU menafikan dakwaan kononnya Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, mencadangkan supaya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terhenti keahlian mereka dalam PAS dikekalkan sebagai ADUN Bebas, sekali gus dianggap cuba mencampuri urusan parti itu.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau yang menjadi saksi pertemuan antara pemimpin BERSATU dan PAS di kediaman Mursyidul Am PAS mengesahkan bahawa tiada sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Perlis yang bertujuan mencampuri urusan dalaman PAS.

“Cadangan yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Perlis adalah berkaitan urusan pentadbiran negeri, khususnya bagi menyelesaikan isu pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit susulan pengumuman kekosongan kerusi oleh Speaker DUN Perlis,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Kenyataan itu dibuat bersama tangkap layar berita mengenai Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Menteri Besar Perlis agar menumpukan perhatian menjaga negeri dengan baik tanpa mencampuri urusan parti lain.

Baca juga : PAS tegas soal disiplin, Ahmad Fadhli ingatkan MB Perlis fokus tadbir negeri

Menurut Tun Faisal lagi, cadangan tersebut juga dibuat selepas merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri memandangkan tiga ADUN berkenaan telah membawa perkara itu ke mahkamah, menyebabkan kedudukan mereka tergantung sehingga keputusan mahkamah dibuat.

Beliau berkata, berdasarkan laporan media serta pemahamannya sendiri, kerajaan negeri berharap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya ketiga-tiga ADUN itu diterima semula sebagai ADUN walaupun berstatus Bebas, memandangkan mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing,”.

Tun Faisal menegaskan, cadangan tersebut tidak ada kaitan dengan tindakan PAS terhadap ahli-ahlinya kerana urusan menggugurkan atau memecat ahli adalah hak mutlak parti itu.

Beliau berkata, pendekatan ‘menang-menang’ turut dicadangkan melalui perbincangan secara ‘adik-beradik’, iaitu ketiga-tiga ADUN menarik balik saman terhadap Speaker manakala Speaker menarik semula keputusan berhubung kekosongan kerusi demi kepentingan rakyat di kawasan DUN terlibat.

Menurutnya, sekiranya cadangan penyelesaian itu tidak dapat dilaksanakan, Menteri Besar Perlis akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi membantu rakyat, khususnya dalam penyaluran bantuan dan urusan kebajikan.

Mengulas lanjut, Tun Faisal menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan sikap tabayyun dan mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang tuduhan melulu serta menjauhi perbuatan mendatangkan fitnah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button