BERITA SEMASAPMX

KKM perlu perluas sumber ubat generik, kekang kos rawatan – PM

SEBERANG PERAI – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperluas sumber ubat generik yang berpatutan melalui penerokaan pembekalan antarabangsa bagi mengekang kos rawatan serta melindungi kepentingan rakyat selaras dengan usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan kos perubatan dapat dikawal, selain mengelakkan kebergantungan kepada sumber pembekalan ubat berharga tinggi.

“Budaya lapuk yang membenarkan monopoli perolehan ubat mesti ditamatkan.

“KKM harus berani meneroka alternatif baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber berkos tinggi dari Amerika Syarikat dan Eropah semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya dalam program lawatan kerja beliau di Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Anwar, pembukaan hospital berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem kesihatan awam negara.

Anwar Penang
Anwar menyantuni seorang pesakit warga emas lelaki di Hospital Seberang Jaya pada program tersebut.

“Pembukaan ini menumpukan peluasan akses, peningkatan kapasiti serta pemerkasaan mutu perkhidmatan kesihatan khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya, selaras dengan keperluan rakyat yang kian meningkat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mempergiat kempen kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat termasuk isu pengambilan gula berlebihan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit.

“Kempen kesedaran gaya hidup sihat mesti dipergiatkan di samping iltizam Kerajaan MADANI untuk terus melabur dalam prasarana kesihatan yang moden, adil dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button