UPSR tidak akan dikembalikan – Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan kembali. UPSR itu berapa tahun yang lalu. Tidak sesuai langsung dengan perkembangan anak-anak kita,” katanya memetik laporan AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Pengesahan ini dilihat berbeza dengan kenyataan Fadhlina minggu lalu (15 Januari), yang dilaporkan berkata kajian mengenai keperluan memperkenalkan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan UPSR dijangka siap dalam tahun ini.
Menurutnya, kajian tersebut hanya akan dilaksanakan selepas proses lantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai, dan setakat Khamis lepas, Fadhlina memaklumkan lantikan berkenaan masih dalam proses.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 pula pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Terdahulu, Fadhlina berkata, kajian berkenaan dilaksanakan kerana kerajaan mengambil maklum permintaan serta pandangan ibu bapa dan warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian itu.
Menurut beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, justeru, mendorong kerajaan untuk meneliti semula sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








