Tiga pusat jagaan Al-Kauthar Eduqids didapati tidak berdaftar – JKM
PUTRAJAYA – Tiga pusat penjagaan kanak-kanak di bawah kendalian Al-Kauthar Eduqids didapati tidak berdaftar sebagai operator Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga pusat penjagaan tersebut susulan aduan awam berkaitan dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial.
“Siasatan dan pemeriksaan dijalankan oleh JKM Negeri Selangor pada pukul 10 pagi hari ini melibatkan pusat yang beroperasi di Seksyen 3 dan Kota Kemuning, Shah Alam serta Prima Puchong.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga pusat berkenaan tidak berdaftar sebagai operator Taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Susulan penemuan tersebut, JKM Negeri Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan tindakan LAK terhadap semua pusat terbabit,” kata JKM.
Menurut JKM lagi, pusat-pusat berkenaan menjalankan operasi penjagaan kanak-kanak merangkumi pelbagai kategori termasuk Taska, Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) serta perkhidmatan pemulihan dan terapi kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
“Justeru, siasatan ini turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan semakan serta tindakan selanjutnya,” katanya.
Selain itu, JKM turut mendapati keadaan premis pusat-pusat berkenaan adalah tidak memuaskan, tidak kondusif serta gagal memenuhi ciri keselamatan yang sepatutnya bagi penjagaan kanak-kanak.
BACA: https://malaysiatribune.news/berita-semasa/jkm-selangor-siasat-taska/
Bagi dakwaan melibatkan penderaan kanak-kanak, JKM memaklumkan perkara tersebut telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini berada di bawah siasatan pihak polis.
Dalam perkembangan sama, JKM Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pihak Al-Kauthar Eduqids bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.
“JKM menegaskan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan tertinggi dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, JKM merakamkan penghargaan kepada masyarakat, khususnya ibu bapa yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak.
“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan persekitaran asuhan yang selamat dan kondusif.
“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memilih premis Taska yang berdaftar kerana ia tertakluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan,” tegasnya.
Status pendaftaran Taska boleh disemak melalui Portal Rasmi JKM yang mengemas kini senarai Taska berdaftar secara berkala atau melalui plak pendaftaran Taska yang wajib dipamerkan di hadapan setiap premis berdaftar.
JKM menegaskan akan terus komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








