BERITA SEMASADALAM NEGERI

JAIS siasat dakwaan aktiviti aerobik tidak sopan di Bukit Badong

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan aktiviti senaman aerobik yang mengandungi elemen perlakuan tidak sopan di tempat awam, dipercayai berlaku di Bukit Badong, Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan itu dimulakan susulan penularan satu rakaman video di aplikasi TikTok yang memaparkan aktiviti berkenaan.

Menurut beliau, JAIS memandang serius perkara tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek adab di tempat awam, malah berpotensi mencemarkan imej agama Islam.

“Perbuatan itu dilihat sangat tidak beradab dan mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa selepas siasatan lengkap dijalankan.

Katanya, siasatan turut merangkumi pengesahan lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline JAIS di 1800-88-2424.

Terdahulu, tular beberapa tangkap layar di aplikasi TikTok memaparkan sekumpulan wanita berpakaian tidak sopan yang didakwa melakukan aktiviti senaman aerobik di lokasi terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button