BERITA SEMASA

Nadia Kesuma hilang selepas tiba di Jeddah, laporan polis bakal dibuat

KUALA LUMPUR – Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma, dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga dan rakan terdekatnya.

Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah berkata, kehilangan Nadia disedari selepas pelakon berkenaan tidak menaiki penerbangan seterusnya ke London seperti dijadualkan.

“Nadia berlepas ke Tanah Suci melalui sebuah agensi pelancongan dalam pakej umrah khas yang turut merangkumi lawatan ke beberapa destinasi antarabangsa.

“Sebaik tiba di Jeddah, dia ada menghantar mesej kepada suaminya memaklumkan dia selamat sampai.

Namun dia yang sepatutnya menaiki pesawat ke London, tetapi pihak agensi memaklumkan dia tidak berada dalam penerbangan tersebut,” memetik HM online.

Anne turut berkata, kedua-dua telefon bimbit Nadia kini tidak dapat dihubungi walaupun status mesej menunjukkan telah dihantar, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keberadaan sebenar pelakon berkenaan.

“Suaminya yang bimbang menghubungi saya. Setakat ini, yang pasti namanya ada dalam rekod ketibaan di Jeddah, tetapi dia tidak membuat daftar masuk untuk penerbangan ke London,” katanya lagi.

Anne tidak menolak kemungkinan Nadia menghadapi masalah sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan.

“Sebelum ini dia ada menghantar mesej kepada suaminya menyatakan ‘I met stranger’, selepas itu terus tiada berita.

“Sejak semalam, tiada sebarang respons daripada dia,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Nadia melakukan perjalanan tersebut secara bersendirian menerusi pakej umrah ziarah yang melibatkan beberapa negara termasuk Jeddah, Makkah, Paris dan London.

Anne berkata, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengesan kedudukan sebenar Nadia.

“Kami berharap orang ramai turut mendoakan agar Nadia berada dalam keadaan selamat dan dapat ditemui secepat mungkin,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button