BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, pendakwaan terhadap balunya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat yang dihadapi.

Mahkamah menetapkan perbicaraan terhadap Zizie Izette diteruskan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.

Bekas Ketua UMNO Sabah itu disahkan telah meninggal dunia pada jam 1.46 pagi, 5 Disember 2025 lalu.

Pemergian ahli politik berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan, menerusi hantaran di Facebook.

Bung Moktar sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai masing-masing RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button