Berita Semasa

Ruang udara Putrajaya ditutup 60 minit hingga 31 Ogos

Beri laluan kepada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023

PUTRAJAYA – Ruang udara Putrajaya akan ditutup selama 60 minit mulai esok hingga 31 ogos bagi memberi laluan kepada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata, nasihat itu dikeluarkan menerusi Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) berhubung perubahan sementara kawalan ruang udara dan pengurusan trafik udara di dalam dan ruang udara sekitar Kuala Lumpur.

Menurut CAAM, nasihat itu dihebahkan susulan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 2023 sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan ke-66, di sini, pada 31 Ogos ini.

“Objektif perubahan ini adalah untuk memastikan aliran trafik udara yang selamat, teratur dan pantas sebelum, semasa dan selepas acara lintas hormat dan payung terjun dengan mengambil kira peningkatan jumlah pergerakan dan pengendalian khas yang diperlukan sepanjang acara sambutan ini,” menurut kenyataan itu.

Ruang udara Putrajaya akan ditutup dari 11 pagi hingga 12 tengah hari dari 26 Ogos hingga 28 Ogos untuk latihan penerbangan lintas hormat dan masing-masing dari 9.45 pagi hingga 10.45 pagi pada 29 Ogos dan 31 Ogos, untuk raptai penuh serta perarakan sambutan hari sebenar.

Memandangkan banyak penerbangan dijangka tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejurus sebelum dan selepas penutupan ruang udara dalam Kawasan Terminal Kawalan Kuala Lumpur (TMA), pengendali syarikat penerbangan dinasihatkan untuk merancang penerbangan mereka untuk mendarat atau berlepas dengan baik sama ada sebelum atau selepas penutupan untuk mengelakkan kelewatan.PUTRAJAYA – Ruang udara Putrajaya akan ditutup selama 60 minit mulai esok hingga 31 ogos bagi memberi laluan kepada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Pengendali pesawat juga dinasihatkan untuk mengambil kira kemungkinan berlaku kelewatan ketibaan ke KLIA atau klia2 selepas penutupan dan merancang bahan api yang mencukupi sekiranya penangguhan perlu dilaksanakan,” menurut CAAM.

Sementara itu, CAAM memaklumkan operasi helikopter dan aktiviti payung terjun akan dilaksanakan mulai hari ini hingga 31 Ogos dari 7.45 pagi hingga 8.55 pagi setiap hari, operasi KLIA dan klia2 berjalan biasa sepanjang tempoh terbabit.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini dengan tema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Show More

Related Articles

Back to top button