[VIDEO] Warga emas didenda RM9,000 kerana ubah suai plet kenderaan Singapura, isi RON95
KULAI – Seorang warga emas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang diubah suai bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak, baru-baru ini.
Majistret R. Salini membuat keputusan itu selepas Long Sa Kow, 64, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah, lapor KOSMO.
Mengikut pertuduhan, Sa Kow yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemandu Volkswagen Jetta yang mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu di sebuah stesen minyak pada pukul 10.30 malam, 2 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama. Sabit kesalahan, OKS boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala OKS diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli.
Sharmaine dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan OKS sudah bersara dan tiada pendapatan tetap selain menanggung isteri serta dua anak yang masih belajar.
Thiviya bagaimanapun memberikan hujah pemberat supaya hukuman dikenakan ke atas OKS sebagai pencegahan dan pengajaran kepada lelaki itu supaya tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.
Majisret menjatuhkan hukuman denda RM9,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








