Protes di Iran, platform X tukar emoji bendera Iran dengan simbol pra-revolusi
TEHRAN – Platform media sosial X menggantikan emoji bendera Iran dengan bendera pra-revolusi yang memaparkan simbol singa dan matahari ketika negara itu berdepan gelombang bantahan rakyat di seluruh negara.
Beberapa laporan media antarabangsa memaklumkan perubahan itu dilaksanakan secara menyeluruh di platform berkenaan, termasuk pada akaun rasmi pegawai Iran dan media berkaitan kerajaan seperti Tasnim News.
Untuk rekod, bendera Iran sebelum revolusi 1979 menampilkan jalur mendatar hijau, putih dan merah dengan lambang singa bersenjata pedang berlatarbelakangkan matahari terbit di bahagian tengah.
Simbol itu digunakan secara rasmi sebelum kejatuhan Shah Mohammad Reza Pahlavi yang merupakan pemimpin pro-Barat.
Selepas revolusi Islam, Iran menggantikan lambang tersebut dengan simbol Republik Islam berwarna merah yang mula digunakan pada 1980, namun masih mengekalkan reka bentuk tiga warna yang sama.
Ketua produk X, Nikita Bier dalam satu kenyataan mengesahkan perubahan itu selepas seorang pengguna mengemukakan permintaan agar emoji berkenaan dikemas kini.
Beliau sebelum ini memaklumkan perubahan itu dijangka dapat dilihat di versi web platform berkenaan dalam tempoh terdekat.
Pengguna X melaporkan emoji baharu itu mula muncul pada petang Jumaat (waktu tempatan) termasuk pada akaun Kementerian Luar Iran.
Bagaimanapun, perubahan tersebut masih belum dipaparkan pada peranti mudah alih setakat pagi Sabtu (waktu tempatan).
Tindakan berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial dengan penyokong monarki menyambut baik perubahan itu, manakala penyokong Republik Islam mengecamnya sebagai campur tangan tidak sah terhadap kedaulatan negara.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan telah membuang emoji bendera Iran daripada nama paparan akaunnya di platform milik Elon Musk itu.
Sementara itu pemuzik Iran, Shahin Najafi menyuarakan sokongan terhadap perubahan tersebut dengan menulis di X: “Kami akan menjadikan Iran hebat semula.”
Sebaliknya, pencipta kandungan dari Britain, Lateef Saka mengkritik tindakan itu dengan mempersoalkan kewajaran sebuah aplikasi yang mendakwa bersifat bebas melakukan perubahan berunsur politik.
Perubahan emoji itu berlaku ketika Iran berdepan protes berterusan susulan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, kejatuhan nilai mata wang dan tekanan akibat sekatan ekonomi Barat.
Pihak berkuasa Iran sebelum ini menuduh Amerika Syarikat dan Israel sebagai dalang di sebalik apa yang disifatkan sebagai rusuhan, sambil menafikan kemungkinan campur tangan ketenteraan asing dalam isu berkenaan.
Dalam masa sama, kerajaan Iran terus melaksanakan sekatan internet sebagai langkah mengekang penyebaran maklumat berkaitan protes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








