Saya akan maklumkan keputusan pada PAU minggu depan – Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai masa depan politik Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh dijangka terjawab pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung minggu depan.
Dr Akmal berkata, beliau akan mengumumkan pendirian dan keputusannya secara rasmi pada PAU, sekali gus menamatkan teka-teki berkaitan isu peletakan jawatan yang tular sebelum ini.
“Saya akan maklumkan keputusan dalam PAU minggu depan,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette ketika diminta mengulas perkara tersebut.
Menurut beliau, pada ketika ini beliau memerlukan sedikit ruang bagi menyelesaikan beberapa agenda penting parti sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.
“Bagi saya, selesaikan dahulu PAU, Pilihan Raya Kecil Kinabatangan serta mengadakan pertemuan dengan Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dalam tempoh ini,” katanya.
Dr Akmal berkata demikian ketika dalam perjalanan menuju ke Sabah selepas tiba dari Shanghai, China.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha meredakan spekulasi yang semakin memuncak berhubung kedudukannya dalam parti dan kerajaan negeri.
PAU 2026 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari ini dan dilihat sebagai platform paling penting buat Dr Akmal untuk menzahirkan pendirian rasmi berhubung perkembangan politik semasa.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan beliau didakwa menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka.
Terdahulu, Dr Akmal menjadi tumpuan susulan kenyataannya pada Konvensyen Pemuda UMNO minggu lalu yang menggesa UMNO meninggalkan kerjasama politik dengan DAP, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada kepimpinan DAP sendiri.
Perkembangan itu turut mengundang tekanan terhadap beliau daripada pelbagai pihak, dengan isu penyatuan ummah dan hala tuju politik UMNO kembali menjadi perbahasan.
Bagaimanapun, kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dan “dipatuk dua kali oleh ular yang sama”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








