Populasi harimau Malaya kritikal, kurang 150 ekor di habitat liar – CAP
GEORGE TOWN – Populasi harimau Malaya kini berada pada tahap amat membimbangkan apabila dianggarkan kurang daripada 150 ekor masih hidup di habitat liar, sekali gus meletakkan spesies ikonik negara itu di ambang kepupusan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran bahawa situasi berkenaan bukan sekadar isu pemuliharaan hidupan liar, sebaliknya satu krisis nasional yang membawa implikasi besar terhadap keseimbangan ekologi serta warisan negara.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kepupusan harimau Malaya akan memberi kesan langsung terhadap kestabilan ekosistem hutan termasuk bekalan air, biodiversiti, daya tahan iklim dan kelestarian sumber semula jadi.
“Harimau Malaya bukan sahaja khazanah alam, malah simbol identiti negara. Kehilangannya akan meninggalkan kesan besar kepada ekologi dan warisan budaya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, spesies itu terus diancam oleh pelbagai faktor termasuk pemburuan haram, penyusutan sumber makanan, konflik manusia-harimau serta kematian akibat pelanggaran kenderaan.
Menurutnya, antara tahun 2023 hingga 2024, sekurang-kurangnya enam ekor harimau Malaya dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya, manakala tahun lalu pula bangkai seekor harimau ditemui disorok di dalam but sebuah kereta dengan enam kesan tembakan di kepala.
Mohideen turut berkata, perdagangan global kulit dan gigi harimau kekal sebagai ancaman serius, didorong oleh kepercayaan tradisional yang menganggapnya sebagai azimat, walaupun tiada bukti saintifik menyokong dakwaan tersebut.
Sehubungan itu, CAP menggesa tindakan lebih tegas diambil termasuk memperkukuh penguatkuasaan antipemburuan, menambah peruntukan rondaan, membanteras rasuah dalam rangkaian jenayah hidupan liar serta melindungi dan menghubungkan kawasan hutan yang terpisah.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan meningkatkan penglibatan masyarakat Orang Asli dalam usaha pemuliharaan sebagai rakan strategik di lapangan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








