BERITA SEMASADALAM NEGERI

Anak mangsa korban kemalangan Sungai Korok berjaya masuk MRSM

KUALA LUMPUR – Di sebalik duka kehilangan yang meragut seluruh keluarga terdekatnya, sinar harapan kembali menyinari kehidupan Puteri Qisya Nur Izzat apabila remaja itu diterima melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekali gus merealisasikan impian arwah ibunya.

Perkhabaran itu dikongsikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai manifestasi ketabahan luar biasa seorang anak yatim yang bangkit daripada tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra, beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, hasrat arwah ibu Qisya, Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, untuk melihat anaknya menjejakkan kaki ke MRSM akhirnya tercapai dengan izin Allah.

“Hari ini impian itu menjadi nyata. Ia bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi kemenangan jiwa seorang anak yang tidak menyerah kepada takdir,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.

Asyraf Wajdi berkata, Qisya yang kini tinggal bersama neneknya di Pendang memaklumkan dia membantu menguruskan perniagaan roti canai keluarga sementara menunggu tarikh melapor diri ke MRSM minggu hadapan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki menghubungi Puteri Qisya Nur Izzat bagi mengucapkan tahniah atas kejayaannya memasuki MRSM.

Beliau menjelaskan, pemilihan ke MRSM bukan satu laluan mudah apabila lebih 100,000 permohonan diterima setiap tahun, namun hanya sekitar 7,000 calon ditawarkan tempat.

“Qisya antara yang terpilih. Saya berpesan agar dia sentiasa percaya bahawa ilmu adalah kunci utama mengubah masa depan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan remaja itu supaya tidak meninggalkan al-Quran, memperbanyakkan doa buat arwah ibu bapa serta memanfaatkan sepenuhnya peluang di MRSM sebagai landasan membina kehidupan yang lebih baik.

Menurut Asyraf Wajdi, MARA sebelum ini telah mengambil Qisya sebagai anak angkat dan menerusi program BUDI serta bimbingan berterusan, institusi itu akan memastikan perjalanan pendidikan remaja berkenaan terpelihara sehingga ke peringkat tertinggi.

Pada Julai tahun lalu, Qisya kehilangan ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam tragedi nahas kereta yang terbabas sebelum terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok.

Mangsa terkorban ialah bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32; ibunya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat adik-beradik iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, enam bulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button