Pekawanis perkasakan wanita sebagai pemacu ekonomi Selangor
CYBERJAYA – Peranan golongan wanita wajar diperkasakan, bukan sekadar sebagai tunjang keluarga, malah turut berperanan besar sebagai pemacu ekonomi dan pembangunan negara, khususnya dalam era globalisasi dan digitalisasi masa kini.
Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, wanita perlu lebih sedar dan memahami perkembangan ekonomi semasa bagi membolehkan mereka mencipta peluang keusahawanan sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Antara bantuan yang diberikan oleh Pekawanis kepada wanita di Selangor ialah bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan maklumat individu perhubungan, khususnya dalam sektor perniagaan bagi membantu golongan wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Ekonomi Wanita Madani anjuran Pekawanis dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang merupakan program pertama pertubuhan itu bagi tahun 2026 di sini hari ini.
Hadir sama, YDP Majlis Perbandaran Sepang, Dr Ani Ahmad serta Pengarah Seminar merangkap Ahli Pekawanis DUN Dengkil, Adibah Ahmad.
Mengulas lanjut, Masdiana berkata, penganjuran seminar tersebut bertujuan membantu golongan wanita membina keyakinan dan kefahaman dalam bidang ekonomi, selain membuka ruang jaringan positif bagi memperkasakan keupayaan mereka agar lebih berdaya saing.
“Dalam konsep ekonomi madani, keseimbangan antara pembangunan material dan kesejahteraan sosial amat penting. Wanita mempunyai kelebihan tersendiri dalam mengurus ekonomi secara berhemah berasaskan nilai kasih sayang, keadilan dan kebersamaan,” katanya.
Menurut beliau, dengan ilmu dan kefahaman yang mendalam, wanita mampu meningkatkan ekonomi diri dan keluarga, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negara.
Masdiana turut berkongsi pengalaman peribadi dalam mengurus ekonomi keluarga sebagai bukti bahawa kebijaksanaan dan kreativiti wanita mampu menghasilkan pengurusan kewangan yang lebih cekap walaupun dalam situasi mencabar.
Katanya, wanita bersifat pelbagai keupayaan, mampu mengurus rumah tangga, bekerja, mendidik anak-anak serta menyumbang kepada ekonomi dalam masa yang sama, sekali gus menjadi kelebihan berbanding golongan lelaki.
Beliau yakin penganjuran seminar seumpama itu dapat meningkatkan daya saing, keyakinan serta keupayaan wanita untuk berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam bidang ekonomi.
“Saya berharap seminar ini menjadi platform inspirasi agar wanita terus maju dan memberi sumbangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Masdiana turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, penaja, agensi terlibat serta semua peserta yang hadir menjayakan Seminar Ekonomi Wanita Madani berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








