Suspek hasilkan bahan letupan IED simpan dendam pada bekas kekasih
NILAI – Suspek utama yang dikaitkan dengan kejadian letupan melibatkan bahan letupan buatan sendiri (IED) pada 22 Disember lalu dipercayai menghasilkan peranti berkenaan akibat perasaan dendam terhadap bekas teman wanitanya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil soal siasat awal mendapati warga emas terbabit mengaku bertindak demikian kerana menyimpan perasaan dendam berkenaan.
Menurutnya, setakat ini polis masih meneruskan siasatan lanjut namun proses berkenaan dilakukan secara berperingkat berikutan keadaan kesihatan suspek yang masih menerima rawatan, meskipun berada dalam keadaan stabil.
“Berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku menghasilkan IED tersebut kerana berdendam dengan bekas teman wanitanya. Difahamkan mereka telah berpisah sejak lima tahun lalu.
“Buat masa ini, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan kes,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, dalam masa sama keterangan suspek juga tidak konsisten memandangkan keadaan kesihatannya selain beberapa elemen siasatan lain sukar diperolehi.
“Bagaimanapun, berdasarkan keterangan saksi iaitu jiran kepada suspek mengatakan warga emas ini memang menghadapi kemurungan akibat berpisah dengan teman wanita.
“Suspek sering bercerita kepada saksi mengenai teman wanitanya. Keterangan ini mengukuhkan pengakuan suspek mengenai dendam ke atas bekas kekasihnya,” katanya.
Justeru itu, kata beliau, pihaknya membuat permohonan untuk menyambung reman terhadap lelaki itu hari ini bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








