KANGAR – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis hari ini memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka tiga kerusi berkenaan, baru-baru ini.
Mereka adalah ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Chuping, Saad Seman yang diberhentikan keahlian dalam PAS pada 24 Dis lalu.
Pemberhentian keahlian mereka itu menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kerusi yang diwakili mereka perlu dikosongkan.
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, mereka menegaskan pengumuman Speaker bertarikh 25 Dis itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.
“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata kenyataan itu, hari ini.
Tindakan mereka, katanya, diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.
“Kami menuntut pengisytiharan yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
“Selain itu, kami memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” katanya lagi.
Kenyataan itu menyebut, tindakan saman itu difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
Dalam perkembangan berkaitan, Rus’sele berkata, kesemua ADUN berkenaan berhak memfailkan saman kerana itu adalah hak mereka dan beliau hanya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.
“Itu adalah hak mereka (failkan saman) dan saya pun jika ada ruang merayu atau apa jua perkara yang dapat memberi ruang kepada mereka untuk dilihat dari sudut undang-undang, saya akan berikan.
“Jika mereka menang pun tidak ada masalah apa-apa kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai Speaker sahaja,” katanya lagi sambil menambah, pihaknya belum lagi menerima sebarang notis atau writ saman daripada pihak berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








