Prasarana catat 1.54 juta perjalanan penumpang sempena ambang Tahun Baharu
KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merekodkan lebih 1.54 juta perjalanan penumpang bagi perkhidmatan rel dan bas pada 31 Disember 2025, sekali gus mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah pengendali perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 0.76 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, kecekapan koordinasi operasi serta pengurusan kawalan orang ramai melibatkan kira-kira 3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang berjaya memastikan perkhidmatan rel dan bas beroperasi secara lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu.
“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan Rapid KL berjalan lancar walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa lokasi tumpuan sambutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod, perkhidmatan rel mencatatkan 1.29 juta penumpang, manakala perkhidmatan bas termasuk Rapid On-Demand (ROD) merekodkan 251,737 penumpang.
Bagi perkhidmatan rel, laluan Kajang mencatatkan jumlah penumpang tertinggi iaitu 396,141 orang, diikuti laluan Kelana Jaya (321,381), Ampang/Sri Petaling (246,885), Putrajaya (234,158) dan Monorel (90,748).
Sementara itu, perkhidmatan bas termasuk ROD merekodkan 183,944 penumpang bagi Rapid KL, 48,002 penumpang bagi Rapid Penang dan 19,791 penumpang bagi BRT Sunway.
Amir berkata, kejayaan mengendalikan operasi berskala besar itu membuktikan tahap kesiapsiagaan serta profesionalisme petugas Prasarana dalam memastikan pengangkutan awam dapat diurus secara berkesan meskipun berdepan situasi operasi yang mencabar.
Beliau turut berkata, kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kawalan trafik serta penguatkuasaan laluan bas membantu memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual walaupun keadaan trafik sesak di sekitar pusat bandar.
Selain itu, koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana bersama penganjur acara serta pasukan keselamatan pusat beli-belah utama turut memainkan peranan penting dalam mengawal aliran penumpang dan memastikan keselamatan orang ramai berada pada tahap optimum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








