Mangsa kedua lemas di Pantai Sura Tengah ditemukan
DUNGUN – Tragedi lemas yang mengorbankan nyawa dua beradik di Pantai Sura Tengah, di sini, berakhir dengan penemuan mayat mangsa kedua yang ditemukan terdampar di pesisir pantai awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Samsuddin berkata, mayat Mohd Fazir Shafie, 37, ditemui kira-kira pukul 12.35 pagi, sekitar satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Menurut beliau, mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Susulan penemuan mayat berkenaan, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 1.10 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Mayat Mohd Fazir kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi semalam, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan kakaknya, Nor Baizura Shafie, 38, yang lemas ketika mandi di pantai berkenaan sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
Pasukan mencari dan menyelamat terlebih dahulu menemukan mayat Nor Baizura pada pukul 10.54 pagi semalam, manakala mayat Mohd Fazir hanya ditemui pagi ini.
Jenazah Nor Baizura selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Dungun kira-kira pukul 10 malam tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















