SPRM rakam keterangan bekas menteri susulan dakwaan rasuah wang tunai, kereta Lamborghini
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah berupa wang tunai kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah berjenama Lamborghini yang dipercayai berkait dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Memetik sumber, berdasarkan maklumat awal diterima SPRM, wang berkenaan dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pemaju, manakala kereta mewah itu didakwa disumbangkan oleh sebuah syarikat pembuat papan iklan.
“Bekas menteri terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan.
“Siasatan kini berada pada peringkat mengesan punca pembayaran serta pemilikan kereta mewah berkenaan,” kata sumber berkenaan, hari ini.
Bagi kes berkaitan tanah, sumber mendedahkan siasatan awal mendapati beberapa lot tanah yang sebelum ini digazetkan bagi pembinaan surau dipercayai telah dipindah milik kepada sebuah syarikat proksi.
“SPRM sedang meneliti proses serta kelulusan pemindahan tanah berkenaan bagi mengenal pasti sebarang elemen salah guna kuasa atau penerimaan suapan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan serta pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka membabitkan bekas menteri berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.
“Buat masa ini, tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan,” katanya ringkas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







