BERITA SEMASA

Keputusan kes 1MDB isyarat pembaharuan, reformasi perlu diteruskan – Gobind

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai satu langkah penting ke arah pembaharuan negara, namun usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti pentadbiran perlu diteruskan ketika Malaysia melangkah ke tahun 2026.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, kes 1MDB menjadi simbol keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi institusi, memperkukuh akauntabiliti serta memulihkan integriti dalam pentadbiran awam.

“Kini terdapat keperluan mendesak untuk turut menggesa pembaharuan dalam agensi penguatkuasaan supaya perubahan sebenar dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 72, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI telah mengambil beberapa langkah awal termasuk meminda Akta Audit dan Akta Perkhidmatan Parlimen, selain memulakan usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam proses pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih banyak pembaharuan yang perlu dilaksanakan, khususnya melibatkan agensi penguatkuasaan. Katanya, reformasi menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan perubahan sebenar dapat direalisasikan dan keyakinan rakyat dapat dipulihkan.

Mengulas lanjut, Gobind yang juga Menteri Digital mengiktiraf usaha agensi penguatkuasaan, namun mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu ditangani bagi meningkatkan keyakinan awam.

Beliau berkata, mekanisme tadbir urus yang lebih baik serta struktur baharu perlu dibangunkan bagi mengelakkan kes sama dan kerugian besar kepada negara daripada berulang pada masa hadapan.

Gobind turut menegaskan pendirian tegas DAP menentang rasuah dan salah guna kuasa, sambil mengingatkan bahawa skandal 1MDB yang berlarutan lebih sedekad bukan sahaja mencengkam negara tetapi turut menarik perhatian dunia.

Menurutnya, hukuman yang dijatuhkan mencerminkan keparahan kesalahan dan menjadi isyarat jelas bahawa perbuatan sedemikian tidak akan dipandang ringan.

Beliau menambah, skandal 1MDB bukan sekadar satu kes jenayah, sebaliknya ujian besar terhadap institusi negara, rangka kerja tadbir urus dan keazaman politik untuk mengekang salah laku di peringkat tertinggi, yang telah mendedahkan kelemahan sistemik serta menjejaskan kepercayaan awam secara serius.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button