Kes 1MDB: Pendakwaan mohon hukuman maksimum, denda RM11.4 bilion terhadap Najib
PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara maksimum serta denda berjumlah RM11.4 bilion terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selepas bekas Perdana Menteri itu disabitkan bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, kes berkenaan sebagai antara jenayah kewangan paling serius pernah berlaku di negara ini, malah disifatkan sebagai jenayah kleptokrasi pada tahap paling teruk.
Menurut beliau, kesalahan tersebut merupakan pengkhianatan besar terhadap amanah rakyat memandangkan tertuduh ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
“Ini adalah satu pengkhianatan mutlak terhadap kepercayaan awam. Tertuduh menggunakan kedudukan tertinggi dalam kerajaan untuk memperoleh suapan dan menghalalkan hasil jenayah melalui pengubahan wang haram,” katanya ketika menyampaikan hujahan hukuman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ahmad Akram turut menekankan kesan besar skandal 1MDB terhadap kewangan negara, apabila liabiliti syarikat pelaburan strategik itu kini hampir RM50 bilion.
“Kerajaan setakat ini telah membayar kira-kira RM42 bilion bagi menyelesaikan hutang berkaitan, manakala baki sekitar RM13 bilion masih belum dilangsaikan.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa, dengan hukuman dijalankan secara berturutan selepas Najib menamatkan hukuman penjara sedia ada dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd,” katanya lagi.
Selain itu, Najib turut dimohon didenda RM11.4 bilion, iaitu bersamaan lima kali ganda nilai suapan RM2.3 bilion yang diterima, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Mahkamah kemudiannya berhenti rehat sebelum Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meneruskan prosiding bagi mendengar hujahan selanjutnya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Sebelum ini, Najib disabitkan bersalah atas kesemua 25 pertuduhan melibatkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah lebih RM2 bilion, yang merupakan antara kes rasuah terbesar dalam sejarah negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








