Jenazah Kapten Zainol Afiq tiba di Masjid Bandar Baru Senawang
SEREMBAN – Jenazah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, salah seorang mangsa yang maut dalam nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu tiba di Masjid Bandar Baru Senawang, di sini pada pukul 4.20 petang tadi untuk disolatkan.
Ketibaan jenazah itu dinanti ahli keluarga, rakan dan orang ramai yang mula memenuhi kawasan masjid sejak pukul 4 petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut hadir di masjid berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang.
Suasana di sekitar masjid turut sesak dengan kenderaan jemaah yang memenuhi perkarangan dan kawasan luar masjid, malah keadaan dilaporkan seperti suasana solat Jumaat, memetik laporan BH Online.
Turut mengiringi jenazah Allahyarham Zainol Afiq ialah isterinya, Izzati Syamimi dan bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, serta ahli keluarga.
Anggota polis trafik turut ditempatkan bagi mengawal aliran lalu lintas, manakala Ketua Polis Daerah Seremban, Asistan Komisioner Mohd Yatim Osman bersama anggota polis memantau keadaan di sekitar masjid.
Jenazah Kapten Zainol Afiq kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, di sini.
Allahyarham merupakan antara lima mangsa yang maut dalam nahas helikopter BO-105 berhampiran landasan Long Lellang, Sarawak, kira-kira 3.40 petang Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, turut terkorban Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








