Berita Semasa

Nahas Elmina: Proses bedah siasat mangsa selesai, padanan DNA sedang dilaksanakan

SHAH ALAM – Proses bedah siasat 10 mangsa nahas pesawat peribadi yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam kelmarin telah selesai dilaksanakan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kini usaha tertumpu kepada proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA)

“Setakat ini proses bedah siasat melibatkan kesemua mangsa telah selesai dijalankan 30 pegawai pasukan patologi selesai sepenuhnya malam tadi (Jumaat).

“Urusan pemadanan sedang giat dijalankan Jabatan Kimia dan Insya-Allah kita berharap agar semuanya dapat diselesaikan pada Isnin ini,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak 300 sampel cebisan mayat dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya bagi tujuan padanan DNA yang 30 peratus sudah diselesaikan setakat ini.

“Kita sudah mendapat satu padanan DNA yang disahkan sebagai penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dan jenazah diserahkan kepada warisnya hari ini,” katanya lagi.

Selain padanan DNA, Hussein Omar Khan berkata, urusan pengecaman jenazah turut dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

“Setakat ini polis berjaya mengenalpasti lapan cap jari mangsa. Kita menjangkakan satu lagi jenazah dapat dikenalpasti hari ini dan boleh diserahkan esok,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button