BERITA SEMASA

Anthony Loke digesa beri penjelasan segera isu ‘bidding’, tambang e-hailing

SHAH ALAM – Lebih 40,000 rakan penghantar p-hailing dan pemandu e-hailing masih menunggu penjelasan rasmi berhubung isu yang dibangkitkan dalam sesi libat urus antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan beberapa persatuan pada 17 November lalu.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menuntut maklum balas segera daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, khususnya berhubung pelaksanaan sistem tawar-menawar atau bidding dalam perkhidmatan e-hailing yang didakwa bercanggah dengan perundangan sedia ada.

“Anthony sebelum ini pada 12 Mei 2024 menegaskan bahawa perundangan negara tidak membenarkan amalan bidding, namun kerajaan didakwa masih membenarkan syarikat e-hailing menawarkan sistem tersebut.

“Menteri menyatakan undang-undang tidak membenarkan, tetapi agensi kawal selia pula membenarkan operasi syarikat seumpama ini.

Keadaan ini menampakkan dasar yang tidak konsisten atau flip-flop,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka turut mendakwa kewujudan syarikat e-hailing berasaskan bidding memberi kesan negatif kepada pemandu kerana ketiadaan harga lantai yang munasabah, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

“Pemandu terkesan apabila tambang ditekan serendah mungkin atas alasan persaingan, sedangkan kerajaan sebelum ini berulang kali menyatakan komitmen membela pekerja gig, termasuk ketika usaha mendapatkan sokongan terhadap Akta Pekerja GiG 2025,” katanya lagi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh beberapa pertubuhan dan persatuan termasuk Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Pertubuhan Tenaga GiG Melaka, Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar dan Penghantar e-Hailing Sabah, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Menurut mereka, persaingan tanpa kawalan harga lantai menyebabkan syarikat e-hailing berlumba-lumba menurunkan tambang, sekali gus menekan pemandu secara keseluruhan.

“Kerajaan sering menyatakan persaingan menguntungkan pengguna, namun kesan terhadap pemandu e-hailing juga perlu diambil kira, terutama ketika kos sara hidup meningkat dan subsidi bahan api dirasionalisasikan,” katanya lagi.

Mereka turut mempersoalkan kehadiran pegawai kanan agensi kawal selia dalam program anjuran syarikat e-hailing yang masih berada dalam tempoh pemantauan, yang disifatkan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pemandu.

“Kami berharap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan tatakelola dan integriti benar-benar dipatuhi kerana setiap tindakan penjawat awam sentiasa diperhatikan masyarakat,” katanya lagi.

Menjelang 2026, persatuan terbabit menggesa Menteri Pengangkutan mengambil tindakan lebih tegas, termasuk merombak agensi kawal selia jika perlu, supaya polisi yang dilaksanakan benar-benar berpihak kepada pengguna dan pemandu, bukan syarikat e-hailing semata-mata.

Sementara itu, Setiausaha RPM, Kamarulzaman Ahmad berkata, sesi libat urus bersama APAD pada 17 November lalu turut membincangkan isu kajian harga lantai e-hailing, pelaksanaan sistem bidding, kenaikan kos insurans e-hailing serta subsidi BUDI95.

Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima, termasuk berkaitan kajian harga lantai e-hailing yang dijangka diumumkan pada Disember.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button