Fokus perkasakan agenda keterjaminan makanan – Chan Foong Hin
PUTRAJAYA – Usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menjadi keutamaan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, sebaik memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hari ini.

Beliau berkata, sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi kementerian memberi gambaran menyeluruh mengenai dasar, hala tuju serta perkembangan semasa sektor pertanian, termasuk pelbagai inisiatif strategik yang sedang dan akan dilaksanakan.
Menurutnya, sektor pertanian negara perlu diperkasakan secara menyeluruh bagi berdepan cabaran global yang semakin kompleks, khususnya dari aspek daya tahan sistem makanan, kecekapan rantaian bekalan serta keupayaan adaptasi terhadap perubahan iklim.

“Sektor ini perlu diperkukuh agar lebih berdaya tahan dan mampan, sejajar dengan keperluan semasa serta cabaran masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Foong Hin berkata, beliau komited untuk memperkukuh kepimpinan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam melaksanakan agenda transformasi sektor pertanian selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 serta Pelan Strategik KPKM 2025–2030.
Katanya, fokus utama kementerian ketika ini adalah meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa golongan petani dan memastikan kemampanan jangka panjang industri makanan negara.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali, barisan Setiausaha Bahagian, pegawai kanan serta seluruh warga KPKM atas sambutan dan kerjasama yang diberikan.
Beliau turut berkata, kerjasama erat semua pihak penting bagi memacu sektor pertanian negara ke arah lebih berdaya saing, bernilai tinggi dan mampan demi kepentingan rakyat serta keselamatan makanan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


