LUAR NEGARA

‘Hero’ Bondi Beach terima hadiah AS$2.5 juta

SYDNEY – Tindakan berani seorang lelaki menggagalkan insiden tembakan di Bondi Beach, Australia pada 14 Disember lalu mendapat perhatian dan penghargaan masyarakat antarabangsa apabila sumbangan awam terhadapnya mencecah AS$2.5 juta (RM10.5 juta) sebagai tanda sokongan dan penghormatan.

Dalam kejadian itu, Ahmed al Ahmed bertindak pantas merampas senjata daripada salah seorang lelaki bersenjata api yang melepaskan tembakan di pantai pelancongan terkenal itu.

Mangsa kes tembakan di Bondi Beach, Sydney diusung oleh pasukan keselamatan.

Keberaniannya mendapat perhatian ramai selepas seorang pempengaruh media sosial, @mdmotivator berkongsi kunjungan beliau ke hospital untuk menyampaikan sumbangan hasil kutipan dana tersebut kepada Ahmed.

“Seramai 43,000 orang telah menyumbang sebanyak AS$2.5 juta (RM10.5 juta) kepada awak,” katanya dalam perkongsian berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmed menegaskan tindakannya bukan bertujuan untuk meraih pujian atau ganjaran, sebaliknya dilakukan atas dasar keikhlasan demi menyelamatkan nyawa.

“Kita perlu berdiri demi semua orang dan melupakan perbezaan yang pernah berlaku. Yang penting adalah menyelamatkan nyawa.

“Apabila saya membantu orang lain, saya melakukannya dengan sepenuh hati,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan insiden tembakan di Bondi Beach telah diisytiharkan sebagai serangan pengganas yang menyasarkan komuniti Yahudi di Sydney pada hari sambutan perayaan Hanukkah.

Laporan rasmi pihak berkuasa New South Wales menyatakan 16 orang terbunuh di lokasi kejadian dan ketika dirawat di hospital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button