HASiL, SC meterai MoU perkukuh pematuhan cukai
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa kolaborasi strategik antara kedua-dua agensi dalam usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, pematuhan serta tadbir urus ekosistem kewangan negara.
Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di Menara HASiL, di sini semalam disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, serta disaksikan barisan pengurusan tertinggi kedua-dua pihak.
Abu Tariq berkata, kerjasama itu menjadi platform penting dalam memperkukuh perkongsian maklumat dan keupayaan teknikal bagi menyokong pelaksanaan audit, pemantauan pematuhan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih tepat dan berimpak tinggi.
Menurutnya, MoU berkenaan mencerminkan komitmen HASiL dalam meningkatkan tahap pematuhan cukai, selain memastikan sistem percukaian negara terus berkesan dan menyokong agenda pembangunan nasional.
“Melalui kerjasama ini, HASiL dan SC dapat menyelaras tindakan secara lebih strategik, khususnya dalam mendepani cabaran penguatkuasaan kewangan yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohammad Faiz berkata, kerjasama rentas agensi amat penting bagi menangani isu pengelakan cukai dan penyalahgunaan pasaran modal yang semakin sofistikated.
Menurut beliau, MoU itu membolehkan penggabungan kepakaran dan pengalaman antara kedua-dua agensi bagi mengesan, mencegah serta mengambil tindakan terhadap kesalahan kewangan dengan lebih berkesan.
“Pendekatan bersepadu ini dijangka dapat memperkukuh integriti pasaran modal serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Datuk Hisham Rusli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) HASiL, Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Eksekutif Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi SC, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid serta Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SC, Budiman Lutfi Mohamed.
MoU itu menzahirkan iltizam bersama HASiL dan SC dalam memperkukuh kerjasama antara agensi melalui penyelarasan strategik, pengoptimuman penggunaan data serta pelaksanaan inisiatif bersepadu demi menyokong kestabilan kewangan dan pembangunan ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















