HASiL ingatkan pembayar cukai simpan resit dan e-Invois bagi persediaan e-Filing 2026
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengingatkan semua pembayar cukai supaya mula menyimpan dan menyusun resit serta e-Invois bagi perbelanjaan pelepasan cukai sebagai persediaan awal menjelang pelaksanaan e-Filing 2026.
Menurut HASiL, dengan tahun 2025 yang hampir berakhir, inilah masa terbaik untuk memastikan semua rekod kewangan berkaitan pelepasan cukai disimpan dengan kemas dan teratur bagi melancarkan proses pengisytiharan cukai pada tahun hadapan.

“Apabila rekod kewangan disusun dari awal, proses e-Filing akan menjadi lebih mudah, cepat dan tanpa tekanan,” kata HASiL dalam satu kenyataan.
HASiL menjelaskan, sama ada individu bekerja makan gaji atau menjalankan perniagaan, penyimpanan rekod sah merupakan langkah penting bagi memastikan tuntutan pelepasan cukai dapat dibuat dengan tepat dan mematuhi keperluan undang-undang percukaian.
Antara kategori pelepasan cukai yang memerlukan penyimpanan resit dan e-Invois termasuklah:
- Perubatan (pemeriksaan, rawatan, vaksin, peralatan medical tertentu)
- Pendidikan (yuran kursus, buku)
- Anak (yuran taska, tadika)
- Gaya hidup (peralatan sukan, buku, langganan internet)
- KWSP (caruman sendiri yang layak)
- SSPN (simpan untuk pelepasan simpanan pendidikan)
- Perbelanjaan sukan (yuran keahlian, peralatan)
“Kedua-dua resit fizikal dan invois digital (e-Invois) diterima sebagai rekod sah, asalkan dokumen tersebut memaparkan maklumat lengkap termasuk jumlah bayaran, tarikh transaksi dan butiran pembelian.
“Rekod yang disimpan dengan baik bukan sahaja memudahkan pengiraan jumlah pelepasan, malah dapat mengelakkan kesilapan tuntutan, mempercepatkan proses e-Filing dan memastikan ketepatan rekod sekiranya diperlukan untuk tujuan semakan,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, HASiL menggalakkan pembayar cukai menggunakan sistem penyimpanan yang sesuai dan selesa sama ada melalui folder khas dalam telefon, storan awan atau fail fizikal, asalkan semua dokumen disimpan di satu lokasi yang mudah diakses.
“Sebagai langkah proaktif, HASiL menyarankan orang ramai menyediakan folder khas sebelum 31 Disember dan menjadikan amalan penyimpanan rekod ini sebagai rutin tahunan bagi memastikan urusan percukaian berjalan lancar dan teratur,” menurut HASiL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















