KEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC tawar 25 biasiswa CARE dan LEGASI 2025

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menawarkan Biasiswa MCMC CARE dan MCMC LEGASI 2025 kepada 25 pelajar cemerlang dalam bidang komunikasi dan multimedia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam membangunkan modal insan strategik negara bagi memperkukuh daya saing Malaysia.

“Khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan sektor komunikasi dan infrastruktur digital,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa MCMC CARE dan MCMC LEGASI 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pendidikan merupakan jambatan utama ke arah masa depan yang lebih cerah dan inklusif, justeru peluang yang diberikan menerusi biasiswa berkenaan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima.

“Bukan semua orang mendapat peluang ini kerana proses pemilihan sangat ketat. Penerima adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik dan saya berharap mereka akan kembali berkhidmat kepada negara selepas tamat pengajian,” katanya lagi.

Biasiswa MCMC LEGASI ditawarkan kepada lima pelajar berprestasi tinggi bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara.

Selain pembiayaan penuh, penerima turut diberikan peluang menjalani latihan industri serta jaminan kerjaya di MCMC.

Sementara itu, Biasiswa MCMC CARE memberi manfaat kepada 20 pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan dengan pembiayaan penuh, sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak menghalang akses kepada pendidikan berkualiti.

Fahmi turut berkata, masa depan negara amat bergantung kepada pembangunan infrastruktur digital serta penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan teknologi satelit yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan pesat industri.

“Secara keseluruhan, sebanyak 907 permohonan diterima bagi kedua-dua program biasiswa tersebut, melibatkan 588 permohonan bagi MCMC LEGASI dan 319 permohonan bagi MCMC CARE.

“Proses pemilihan dilaksanakan secara teliti merangkumi penilaian akademik, keperluan kewangan, ujian psikometrik serta sesi temu duga akhir oleh jawatankuasa bebas,” katanya lagi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button