JENAYAH & MAHKAMAH

Kes tembak Melaka: Laporan polis diserah kepada Peguam Negara hari ini – PM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan laporan lengkap berhubung kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka bulan lalu kepada Peguam Negara hari ini bagi tindakan lanjut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diterima daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, yang menegaskan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.

“Laporan polis akan dikemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat salah laku, sebaliknya memberi jaminan keadilan akan ditegakkan berdasarkan fakta dan undang-undang.

Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka, selepas seorang daripada suspek dilaporkan menyerang anggota polis menggunakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah di lengan kiri akibat tetakan.

Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga tiga suspek terbabit menafikan dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang polis, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap insiden berkenaan.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis, termasuk meneliti bukti tambahan yang dikemukakan.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM1.35 juta.

Kes berprofil tinggi itu terus mendapat perhatian umum, dengan orang ramai menanti keputusan pihak berkuasa susulan penyerahan laporan siasatan kepada Peguam Negara bagi menentukan tindakan selanjutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button