PENA sokong ketegasan Perdana Menteri pertahan kedudukan bahasa Melayu, tolak pengiktirafan UEC
KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), meskipun wujud desakan berterusan daripada parti politik berkepentingan.
Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, pendirian Perdana Menteri itu selaras dengan aspirasi persatuan berkenaan yang konsisten memperjuangkan pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan serta pentadbiran negara, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, bahasa Melayu tidak boleh dikompromi atau diketepikan dalam sebarang rundingan, lebih-lebih lagi melibatkan tuntutan yang bersifat tekanan atau ugutan politik.
“Saya menyeru semua pemimpin parti politik Melayu serta pemegang taruh dalam sistem pendidikan kebangsaan agar bersatu menyatakan pendirian menolak UEC bagi mengelakkan negara ini tergadai dengan ‘harga yang murah’.
“Bahasa Melayu merupakan antara teras Perlembagaan dan nilainya tidak ditentukan oleh parti politik yang memegang kuasa sementara, sebaliknya oleh seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Saleeh menegaskan, meskipun parti politik berusaha mendapatkan sokongan pengundi, kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada sebarang tuntutan yang bercanggah dengan sistem pendidikan yang dirangka berasaskan Perlembagaan.
Kenyataan PENA itu dibuat sebagai mengulas ketegasan Perdana Menteri yang menegaskan bahawa sebarang tuntutan menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan, termasuk isu pengiktirafan UEC serta penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan terus mempertahankan dan mendukung prinsip Perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Dalam pada itu, Mohamad Saleeh berkata, sistem pendidikan kebangsaan tidak wajar dipermain-mainkan oleh mana-mana pihak, termasuk institusi swasta, walaupun mereka mendakwa mendapat pengiktirafan universiti antarabangsa.
“Kerajaan perlu berani mempertahankan sistem pendidikan sedia ada yang telah mengambil kira pelbagai kepentingan nasional.
“Sebarang tuntutan berkaitan pendidikan mesti mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan teras utama Dasar Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan penguasaan bahasa lain sememangnya penting sebagai nilai tambah dalam membangunkan modal insan dan meningkatkan daya saing global, namun ia tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan bahasa kebangsaan.
Menurutnya, PENA bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan institusi berkaitan bagi merangka program yang bersifat inklusif dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, di samping memastikan setiap rakyat Malaysia menguasainya dengan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








