POLITIK

DAPSY dakwa Pemuda UMNO, PAS hipokrit isu pengiktirafan UEC

KUALA LUMPUR – DAPSY mengkritik keras pendirian Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri yang didakwa menolak usaha kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menyifatkannya sebagai tindakan tidak konsisten serta bercanggah dengan komitmen mereka sebelum ini.

Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan
Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan

Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan berkata, dakwaan Akmal kononnya kewujudan sekolah menengah persendirian Cina bertentangan dengan dasar pendidikan negara hanya menimbulkan kekeliruan dan boleh mengganggu perbincangan awal mengenai agenda reformasi pendidikan.

“Pengiktirafan UEC bukan isu baharu atau agenda unik kerajaan perpaduan, sebaliknya pernah dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika diketuai Najib Razak, serta manifesto Buku Jingga yang turut merangkumi PAS.

“Apabila Pemuda UMNO dan Pemuda PAS kini seolah-olah menolak pengiktirafan UEC, adakah ini bermakna Najib Razak dan Hadi Awang yang pernah membuat komitmen sama suatu masa dahulu tidak memahami dasar pendidikan negara?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Liinesh turut menyindir Akmal dengan merujuk kepada tindakan beliau mengetuai “skuad polis moral” sebelum ini, dan mencadangkan jika UEC benar dianggap kesilapan besar, Akmal sepatutnya “mendidik” Najib di hadapan Penjara Kajang, manakala Pemuda PAS pula boleh berhimpun di pejabat Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, hujah Pemuda UMNO dan PAS juga menunjukkan kefahaman yang lemah mengenai sistem kemasukan ke universiti awam, yang sejak sekian lama menerima kelayakan A-Level walaupun ia tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan tidak berasal daripada sistem sekolah kerajaan.

“Jika A-Level boleh diterima, mengapa UEC dijadikan isu dengan alasan dasar pendidikan negara? Ini jelas menunjukkan sikap dwi-standard,” katanya lagi.

Liinesh turut berkata, Sabah dan Sarawak sudah mengiktiraf UEC, membenarkan pemegang sijil itu memohon biasiswa negeri dan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi negeri.

“Adakah Pemuda UMNO dan Pemuda PAS juga ingin menuduh kerajaan Sabah dan Sarawak tidak memahami dasar pendidikan negara?” katanya lagi.

Beliau berkata, isu UEC tidak wajar dijadikan modal politik kerana BN dan PAS sendiri pernah menyatakan sokongan.

“Kerajaan perpaduan kini memberi tumpuan kepada agenda reformasi yang lebih besar dan pengiktirafan UEC hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan usaha tersebut.

“Saya menyeru semua pihak berbincang secara tenang dan berasaskan fakta supaya proses reformasi pendidikan negara dapat diteruskan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button