Lelaki warga emas didakwa bunuh isteri
TANAH MERAH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada 1 Disember lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Ibrahim Sulaiman, 63, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Mastura Abdullah, 40, pada 1 Disember antara jam 9.30 pagi hingga 12.15 tengah hari di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Daud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 12 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sambil diiringi anggota polis.
Media sebelum ini melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














