
Kerjasama UMNO-DAP di landasan yang betul – Kor Ming
PUTRAJAYA – Kerjasama UMNO dan DAP sudah berada pada landasan yang betul dan akan menjadi lebih kukuh pada masa akan datang.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah contoh terbaik di mana dua parti yang pernah berseteru dahulu boleh bekerjasama dengan baik.
“Kita dapat lihat kerjasama UMNO dan DAP di landasan betul berdasarkan prestasi di Negeri Sembilan, dengan UMNO hampir memenangi setiap kerusi yang ditandinginya di sana,” kata Kor Ming selepas majlis prapelancaran Anugerah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kecemerlangan Media 2023, di sini hari ini.
Hasil kerjasama tersebut turut dapat dilihat pada keputusan PRN di Selangor dan Pulau Pinang, menerusi kejayaan menyekat gelombang kebangkitan Perikatan Nasional (PN) bagi mengekalkan kerajaan negeri sida ada.
“Kita lihat kerjasama (UMNO-DAP) ini telah membuahkan hasil. Saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN lalu.
“Jangan lupa kita (BN dan PH) baru ‘kahwin’ dan berkawan dalam tempoh lapan bulan sahaja, justeru berikan kami masa empat, lima tahun dan saya yakin Kerajaaan Perpaduan akan semakin kukuh, stabil dan menuju kecemerlangan.
“Ini adalah permulaan kerjasama yang baik dan ia berada pada kedudukan positif,” kata Kor Ming lagi.
Beliau seterusnya menambah, Kerajaan Perpaduan menghormati pilihan dibuat rakyat pada PRN lalu dan fokus kini terarah kepada kerja dan memastikan rakyat terus hidup selesa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















