BERITA SEMASADALAM NEGERI

KKR nafi alih penghadang jalan ditutup di laluan Kenyir-Aring

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan dakwaan bahawa penghadang keselamatan (barrier) di lokasi kemalangan maut membabitkan sebuah SUV di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring (Bukit Kawah) telah dialihkan oleh pihaknya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta tatakelola ditetapkan dalam pengurusan struktur dan keselamatan jalan raya.

“Jika benar penghadang itu dialihkan, ia bukan dilakukan oleh JKR. Kita sentiasa mengikut SOP, terutama di kawasan berisiko seperti lokasi cerun dan kawasan tanah runtuh.

“Langkah keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Jadi, jika dakwaan itu betul, kita perlu tahu pihak mana yang mengalihkan barrier tersebut,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KKR hari ini.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengubah kedudukan penghadang sehingga menyebabkan insiden berkenaan.

“Siasatan dimulakan serta-merta. Setiap kali berlaku kejadian, kita turun ke lokasi untuk membuat penilaian mengikut tatakelola dan SOP JKR.

“Setakat ini, kita belum dapat mengenal pasti siapa yang mengalihkan barrier tersebut. Jika ada mana-mana pihak mempunyai maklumat, sila maklumkan kepada kami,” katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan sebuah Toyota Fortuner dipandu guru, Hassan Shazali, 52, bersama pekerja kantin, Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira pukul 5.30 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Jeneris ke Gua Musang, Kelantan.

Kedua-dua mangsa dilaporkan maut di lokasi akibat kecederaan parah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button