SPRM nafi dakwaan Rafizi berkait siasatan Pemilihan PKR 2025
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dilempar oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sebuah podcast baru-baru ini berkaitan siasatan berkait pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu.
Menurut SPRM, tuduhan bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon-calon yang bertanding adalah tidak berasas dan sama sekali tidak benar.
Siasatan SPRM dijalankan hanya berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima dan setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan serta siasatan mengikut undang-undang dan prosedur ditetapkan.
“Tuduhan bahawa SPRM ‘mengepung rumah’ individu tertentu juga adalah tidak tepat. Dalam kes yang dirujuk, pegawai penyiasat hadir ke kediaman berkenaan bagi tujuan bertemua serta melaksanakan penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti yang merupakan kaedah siasatan biasa termasuk elemen kejutan bagi mengelak risiko pelupusan bukti,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan itu dalam siaran podcast terbaharunya mendakwa, beberapa anggota PKR telah menjadi sasaran siasatan SPRM selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.
Menurut Rafizi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut.
SPRM turut menegaskan bahawa selepas pengesahan individu terbabit tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.
“Keesokan harinya, individu tersebut hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil, dan beliau dibebaskan tanpa penahanan,” katanya.
Suruhanjaya itu juga menekankan bahawa semua tindakan dijalankan selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.
SPRM turut menyeru agar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, sebagai mekanisme sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.
Sehubungan itu, SPRM juga menasihati semua pihak tidak membuat tohmahan tanpa bukti di media sosial kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








