BERITA SEMASA

Kesibukan tugas tidak halang anggota polis bantuan UIAM genggam ijazah

GOMBAK – Bertugas menjaga keselamatan di dalam kampus bukan penghalang buat seorang anggota Polis Bantuan, Pejabat Pengurusan Keselamatan (OsEM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menggenggam segulung ijazah.

Muhamad Ariffin Jaludin, 40, membuktikan dirinya juga mampu berjaya bersama graduan lain yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-41 pada 6 hingga 10 Disember di UIAM Kampus Gombak.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS) universiti tersebut.

Muhamad Ariffin Jaludin berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS).

Menurut Muhamad Ariffin, faktor utama yang mendorong beliau menyambung pengajian adalah keinginan memperkukuhkan kerjaya dan minat mendalam terhadap bidang pengurusan, serta ilmu baharu yang ingin diterokai.

“Jalan menuju kejayaan bukan mudah. Saya mengakui bahawa cabaran paling besar ialah pembahagian masa antara kerja dan pengajian.

“Dengan jadual tugas yang ketat, saya sering berdepan kekangan masa untuk menyiapkan tugasan, menghadiri kelas dan mengulang kaji.

“Keletihan fizikal dan mental selepas bekerja turut menguji ketahanan diri, ditambah dengan konflik jadual apabila kelas atau peperiksaan bertembung dengan waktu bertugas,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kajang, Selangor telah berkhidmat sebagai anggota Polis Bantuan UIAM selama 12 tahun sejak 2012, menjadikan pencapaian akademiknya ini satu detik penuh makna dalam perjalanan kerjaya dan kehidupan.

Sokongan keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan para pensyarah turut menjadi pendorong yang tidak ternilai selain impian peribadi untuk terus maju serta kekal relevan dalam dunia kerja yang semakin mencabar.

“Saya percaya ilmu itu pelaburan paling berharga. Walaupun penat bekerja, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk memperbaiki diri demi masa depan yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Beliau juga menekankan bahawa pengurusan masa adalah menjadi aspek sukar dalam memastikan keseimbangan antara tugasan kerja, komitmen akademik dan kehidupan peribadi.

Pencapaian Muhamad Ariffin bukan sahaja mengharumkan nama diri dan keluarga, malah menjadi inspirasi kepada warga kerja UIAM serta mereka yang ingin menyambung pengajian sambil bekerja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button