PM sudah kenal pasti calon sesuai isi kekosongan kebinet
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah memikirkan beberapa individu yang dianggap sesuai untuk mengisi kekosongan dalam Kabinet, namun menegaskan senarai itu masih belum dimuktamadkan.
Menurut Anwar, walaupun pelantikan anggota Kabinet merupakan prerogatif Perdana Menteri, perbincangan bersama ketua parti komponen Kerajaan MADANI tetap akan dibuat sebelum apa-apa keputusan dimuktamadkan.
“Saya sudah fikirkan beberapa individu untuk mengisi kekosongan Kabinet tetapi senarai belum dimuktamadkan. Walaupun ini prerogatif Perdana Menteri, saya tetap mahu menilai dan mendengar pandangan ketua parti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times di sini, hari ini.
Anwar turut memberi bayangan bahawa rombakan kecil akan dilakukan bagi melengkapkan struktur Kabinet sedia ada.
Jelas beliau, setakat ini perbincangan rasmi bersama ketua-ketua parti belum diadakan.
“Setakat ini saya belum bertemu mana-mana ketua parti untuk membincangkan hal ini,” katanya lagi
Turut hadir, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas desakan MCA agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek digugurkan daripada Kabinet, Anwar berkata, beliau menghargai pandangan yang diberi namun keputusan pelantikan tetap berada di bawah bidang kuasa kerajaan.
“Terima kasih atas pandangan MCA, tetapi tidak mengapalah kerana itu pandangan mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan kononnya Kabinet campur tangan dalam urusan Dewan Rakyat berhubung penggantungan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kabinet juga dianggotai ketua parti yang memberi nasihat kepada rakan backbencher.
:Perkara ini sudah berpuluh tahun berlaku, termasuk ketika mereka dalam kerajaan sebelum ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri sebelum itu menyatakan rombakan Kabinet akan diumumkan dalam masa terdekat selepas dimuktamadkan bersama kepimpinan parti komponen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








