JENAYAH & MAHKAMAH

Pensyarah rugi hampir RM1 juta, tergoda janji pulangan 1,000 peratus skim pelaburan palsu

JASIN – Keghairahan untuk menggandakan simpanan membawa padah kepada seorang pensyarah wanita apabila beliau kerugian hampir RM1 juta selepas terjebak dalam skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan luar biasa tinggi dalam masa beberapa minit.

Mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan mula terpedaya selepas melihat iklan ‘belajar trading saham’ yang tular di Instagram pada 28 Julai lalu sebelum menekan pautan promosi tersebut dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek kemudian meyakinkan mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera serta mengarahkannya memuat turun sebuah aplikasi melalui pautan tertentu kononnya bagi pendaftaran akaun pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa sanggup mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan tersebut mampu memberikan pulangan luar biasa.

“Antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa membuat 20 transaksi ke sembilan akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun Lee berkata, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan dalam tempoh dua hingga lima minit sebagaimana didakwa.

Sebaliknya, suspek meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ kononnya bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lee turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap skim pelaburan yang menawarkan pulangan tidak munasabah terutama jika pembayaran diminta ke akaun bank persendirian.

“Orang ramai dinasihatkan menyemak nombor akaun, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa penipuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button