Afdlin anjur pertandingan karaoke santai di Segama, hilangkan ‘stress’ PRN Sabah
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki, mengambil pendekatan berbeza dalam mendekati masyarakat apabila menganjurkan pertandingan karaoke terbuka di Segama, Lahad Datu, sebagai aktiviti santai bagi mengurangkan tekanan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Afdlin yang juga Ketua Cabang PKR Setiawangsa berkata, pertandingan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kempen politik mana-mana calon, sebaliknya diwujudkan sebagai ruang hiburan untuk penduduk setempat yang melalui suasana kempen pilihan raya yang agak tegang.
“Saya fikir suasana kempen pilihan raya agak stres, jadi saya anjurkan pertandingan karaoke sebagai wadah santai untuk semua lapisan masyarakat.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua, tidak kira parti. Hantar sahaja video nyanyian 30 saat untuk saringan awal,” memetik BH online.
Menurut Afdlin, 20 peserta terbaik telah dipilih untuk ke pusingan akhir yang akan berlangsung malam esok dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam, lengkap dengan pentas, khemah dan juri profesional.
Beliau berkata, sambutan daripada penduduk sangat menggalakkan dan suasana kemuncak dijangka lebih meriah.
Pada masa sama, Afdlin mengakui jadualnya padat sepanjang PRN sebagai wakil Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, khususnya bagi membantu calon di Segama.
“Segama dianggap ‘anak angkat’ kami. Sejak beberapa hari lalu saya berada di sana, kemudian kembali ke Kuala Lumpur, selepas itu ke Sandakan pula mengikuti program Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, Afdlin turut diraikan sebagai salah seorang daripada 50 penggiat seni pada Majlis Konvokesyen ke-8 Akademi Kreatif Meatech di Menara Felda, hari ini.
Beliau menerima Anugerah Pencapaian Industri bagi program Koordinasi Pengarahan Filem melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) peringkat Diploma Kemahiran Malaysia dengan sokongan FINAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







