Perdana Menteri tiba di Johannesburg, mulakan lawatan rasmi tiga hari
PRETORIA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Afrika Selatan pada pukul 6.38 petang waktu tempatan Khamis (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) yang berlangsung di Johannesburg.
Ketibaan beliau di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof, selain wakil kerajaan negara itu termasuk Timbalan Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera, Mejar Jeneral (B) Bantubonke “Bantu” Harrington Holomisa serta Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama bagi Asia Timur dan Oceania, Thandiwe Fadane.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; bersama pegawai kerajaan dan delegasi perniagaan Malaysia.
Lawatan kerja empat hari dari 20 hingga 23 November itu dibuat atas undangan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, lapor Bernama.
Kehadiran Anwar ke sidang berprestij tersebut turut dilihat signifikan dalam memperkukuh hubungan bersejarah antara Malaysia dan Afrika Selatan selain memanfaatkan platform G20 untuk memperjuang agenda Global Selatan.
Afrika Selatan yang mempengerusikan G20 tahun ini membawa tema “Solidarity, Equality, Sustainability”, mencerminkan fokus sebuah negara membangun dalam mendepani cabaran global termasuk kemampanan, ekonomi inklusif dan kerjasama antarabangsa.
G20 dianggotai negara seperti Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika serta Kesatuan Eropah, menjadikannya forum utama bagi menentukan hala tuju ekonomi dunia.
Sepanjang sidang kemuncak, Anwar dijadual menyampaikan dua kenyataan negara. Pada pagi 22 November, beliau akan berucap pada Sesi 1 bertajuk “Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind” yang menekankan pertumbuhan ekonomi terangkum, peranan perdagangan, pembiayaan pembangunan serta isu beban hutang.
Pada sebelah petang pula, beliau akan menyampaikan kenyataan pada Sesi 2 bertema “A Resilient World – the G20’s Contribution” yang memberi tumpuan kepada pengurangan risiko bencana, perubahan iklim, peralihan tenaga adil dan sistem makanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








