BERITA SEMASA

KPKM akan jalankan penternakan babi secara tertutup, berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menjalankan penternakan secara tertutup berteknologi tinggi bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging babi kepada 90 peratus menjelang 2030.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan itu mampu membantu memastikan kelangsungan operasi penternakan babi tempatan.

“Kementerian Kewangan (MOF) memperluaskan skop insentif galakan cukai automasi sektor pertanian meliputi manfaat Elaun Modal Dipercepat (ACA) dan pengecualian cukai pendapatan kepada ternakan babi.

“Langkah itu sebagai galakan untuk mentransformasi ladang terbuka kepada ladang tertutup mulai 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2027,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH–Rasah) mengenai perancangan melaksanakan sistem penternakan moden bagi menangani penurunan SSR daging babi.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) terus menyediakan khidmat nasihat teknikal kepada penternak meliputi pengurusan ladang, pematuhan piawaian kesihatan haiwan serta amalan biosekuriti berkesan.

Usaha tersebut, jelas Mohamad, bertujuan menyokong peralihan industri kepada sistem penternakan yang lebih moden, mampan dan berisiko rendah terhadap jangkitan penyakit.

“Perkhidmatan ini juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan keupayaan penternak dalam menghadapi cabaran industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa KPKM sentiasa menggalakkan pelaksanaan penternakan babi secara ladang tertutup melalui konsep Modern Pig Farming (MPF) dan Pig Farming Area (PFA).

Sebagai contoh, katanya, kawasan PFA di Simunjan, Sarawak kini berfungsi sebagai model penternakan moden bersepadu, manakala sebuah lagi PFA di Tongod, Sabah sedang dalam proses pelaksanaan.

“Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan KPKM dalam memperkukuh industri ternakan babi ke arah yang lebih mampan, berdaya saing dan selamat untuk alam sekitar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button