BERITA SEMASA

Anwar beri amaran keras kepada Setiausaha Politik berkaitan surat sokongan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sudah memberikan teguran keras terhadap setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor berkenaan satu projek hospital tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.

“(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).

“Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) ‘sila teliti’. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Shaari mendakwa, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut hanya dua mempunyai kelayakan.

“Yang lain tidak ada rekod CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), dikenakan tindakan tatatertib dan rakyat tidak melihat tindakan daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri),” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pembinaan projek hospital berkenaan yang terkait surat sokongan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button