Polis tahan lelaki curi puluhan pakaian dalam
ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki tempatan kelmarin, kerana disyaki terbabit beberapa insiden kecurian pakaian dalam di sekitar Mutiara Rini dan Gelang Patah, di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, tangkapan itu susulan laporan dibuat seorang lelaki 50 tahun pada Khamis lalu berhubung kehilangan pakaian dalam milik dirinya dan isteri yang dijemur di luar rumah sekitar pukul 3.10 petang.
Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis menahan suspek berusia 31 tahun di kawasan Gelang Patah sekitar pukul 6.30 petang, semalam.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mencuri pakaian dalam yang dijemur di hadapan rumah dengan mengaut dari luar pagar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penahanan itu membawa kepada penemuan barangan dipercayai hasil curi, termasuk 52 helai baju dalam wanita, 12 helai seluar dalam wanita, dua helai seluar dalam lelaki serta satu penyangkut pakaian berwarna hijau.
Dengan tangkapan itu, polis percaya empat kes kecurian pakaian dalam yang dilaporkan sejak Mei lalu berjaya diselesaikan.
Kumarasan berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencingnya juga negatif dadah.
“Suspek kini direman empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








