BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Terima ugutan, wartawan MalaysiaGazette buat laporan polis

MELAKA – Seorang wartawan portal MalaysiaGazette (MG) membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa menerima ugutan, serangan peribadi, fitnah serta menjadi mangsa doxxing (dedah maklumat peribadi) oleh beberapa individu di Facebook.

Kejadian dipercayai berkait dengan rasa tidak puas hati beberapa individu berhubung satu laporan berita yang mengaitkan dan menyebutkan seorang suspek kes cabul sebagai guru silat pada 5 November lalu.

Pengadu, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 44, memaklumkan insiden disedari semalam apabila beliau melihat beberapa pengguna Facebook meninggalkan komen berbaur ancaman, ajakan serangan berkumpulan dan penghinaan terhadapnya.

Menurutnya, komen-komen tersebut muncul di bawah hantaran berkaitan laporan yang dikeluarkan MalaysiaGazette pada 5 November lalu, turut mendedahkan maklumat peribadi tanpa kebenaran (doxxing) terhadap dirinya.

“Komen mereka bukan sekadar menghina, tetapi ada unsur ugutan fizikal, fitnah serta cubaan mengajak orang ramai menyerang saya.

“Lebih membimbangkan apabila ada individu turut menyebarkan akaun Facebook peribadi dan gambar keluarga saya,” katanya memetik laporan dari MalaysiaGazette.

wartawan MG
Wartawan MalaysiaGazette bersama Amir (tiga dari kanan), Hamzatulakmar (empat dari kiri) dan sebahagian ahli jawatan kuasa PENDIKA selepas membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, Melaka hari ini.

Muhammad Rizanizam berkata, antara komen yang dilaporkan termasuk ajakan “jemput kenduri berjemaah” terhadap pengadu, dakwaan beliau “kaki fitnah” yang perlu “dihapuskan”, serta seruan “jom ramai-ramai rembat” oleh seorang lagi pengguna.

Pengadu berkata, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan reputasinya sebagai wartawan malah menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan diri dan keluarga apabila gambarnya bersama ahli keluarga turut dikongsikan kepada umum.

“Saya bimbang keselamatan isteri dan anak-anak terjejas. Mereka juga terkesan emosi apabila gambar kami dijadikan bahan serangan,” katanya yang berpengalaman hampir 20 tahun sebagai wartawan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataannya mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh wartawan MalaysiaGazette.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat dalam kenyataannya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ugutan, cacian dan makian terhadap golongan media di negeri itu.

“Tindakan berbentuk ugutan itu bukan sahaja memberi kesan negatif kepada wartawan berkenaan malah dibimbangi boleh merebak kepada pengamal media lain sekiranya tidak ditangani segera.

“PENDIKA menegaskan bahawa sebagai pengamal media yang diperakui oleh kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), pihak terbabit sentiasa melaksanakan tugas secara profesional dan beretika berlandaskan fakta sahih daripada pihak berautoriti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PENDIKA menggesa PDRM dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam kes ugutan siber berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengamal media, khususnya di Melaka, terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button