Lelaki maut atas siling rumah dipercayai terkena renjatan elektrik
MELAKA – Seorang lelaki maut di bahagian siling kediamannya di Taman Bukit Larang Indah di sini, akibat dipercayai terkena renjatan elektrik malam tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Shamser Mat Sharif, mangsa berusia 52 tahun itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
Menurut beliau, panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 diterima kira-kira pukul 9 malam, sebelum lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Padang Temu digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di alamat kejadian dalam tempoh enam minit dan menemukan seorang lelaki tidak sedarkan diri di ruang atas siling. Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan awal sejurus dibawa turun namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.03 malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







